Derita Dibadai Taufan
KEPINGAN perabot rosak dan buku berlumpur umpama landskap memenuhi kebanyakan rumah di perkampungan Guludo di utara Mozambique dan Asma Mushillah, 53, menghabiskan masanya menyelamatkan apa saja di dalam runtuhan.
Wilayah tengah negara itu masih lagi terasa dilanda Siklon Idai pada Mac lalu yang membawa kehancuran ke tiga negara di Afrika Selatan selain mengorbankan lebih 1,000 orang.
Ia disusuli Taufan Kenneth pada 25 April yang mengorbankan kira-kira 45 orang dan memberi kesan kepada 375,000 orang yang masih memerlukan bantuan kecemasan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Setiap kali Ramadan, penduduk akan menyambutnya dengan meriah dengan berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam tetapi tahun ini kehidupan mereka kelihatan sukar, lapor Al Jazeera.
Ini kerana mereka cuba membina semula kehidupan selepas hampir sebulan sejak siklon Kenneth melanda pantai utara yang sebahagian besarnya didiami majoriti Islam Mozambique.
Mushillah berkata, sambutan puasanya pada Ramadan tahun ini agak tidak teratur akibat ribut.
“Saya hilang segala-galanya kerana angin dan hujan terlalu kuat. Saya hanya menemui beberapa periuk tetapi saya masih tiada rumah. Anak lelaki boleh membantu membinanya semula tetapi kami masih memerlukan makanan.
“Saya sepatutnya berpuasa, tetapi saya tidak boleh berpuasa dengan baik. Adakalanya saya tidak berpuasa kerana saya tidak tahu bila lagi akan dapat makanan,” katanya.
Sebahagian besar sambutan Ramadan orang Islam di perkampungan nelayan ini iaitu kira-kira 2,500 terganggu apabila Siklon Kenneth berkelajuan 200 kilometer sejam menghancurkan masjid tempatan menyebabkan mereka tiada tempat untuk berkumpul, bersolat dan berbuka puasa.
Ketua Guludo, Muzasufar Abakari, 45, bercerita kepada Al Jazeera bagaimana dinding masjid itu runtuh.
“Masjid itu rosak sehingga tiada tempat untuk kami bersolat, tiada panggilan solat dan tiada tempat untuk berkumpul.
“Buat masa ini, orang ramai tinggal bertaburan di pelbagai tempat membolehkan mereka solat berasingan, tetapi kami akan atur masa mencari tempat sesuai agar dapat solat berjemaah,” katanya.
Sifa Drisa, 67, juga tidak mempunyai banyak makanan di rumahnya.
Drisa berkata, dia dan cucunya berbuka puasa dengan sedikit nasi dan ikan, tetapi dia agak risau kerana beg beras diterimanya sebagai bantuan kecemasan tidak akan bertahan lama disebabkan perlu memberi makan tujuh orang.
Keluarga itu turut menanam ubi kayu, tetapi siklon merosakkan sebahagian besar tanamannya.
Lebih 32,000 hektar makanan di kawasan itu dimusnahkan Taufan Kenneth sebelum musim menuai menyebabkan banyak keluarga kekurangan bekalan makanan.
Ketika bantuan perlahan-lahan dihantar ke kawasan yang paling terjejas, Drisa berkata, dia masih yakin walaupun cabaran yang dihadapinya, dia dan cucunya akan berasa senang kemudian nanti.
“Saya percaya kepada Allah, mungkin ketika ini adalah masa untuk kami bersusah-payah tetapi ia juga masa istimewa untuk berdoa. Walaupun kami tidak mempunyai apa-apa di rumah, saya perlu teguhkan iman supaya keadaan menjadi baik akhirnya,” katanya kepada Al Jazeera.
Kira-kira 50 kilometer ke selatan Guludo adalah pulau Ibo yang juga pintu masuk kepada pedagang Arab menyebarkan Islam kepada penduduk asli di kepulauan Quirimbas seawal 600 AD. Bangunan masjid dan sekolah agama juga sebahagiannya musnah akibat Taufan Kenneth.
Mahando Amad, 66, imam masjid Ibo selama 15 tahun, tetapi kini dia juga tidak dapat datang ke masjid untuk solat lima waktu.
“Sekarang ini bulan Ramadan dan tanggungjawab umat Islam menunaikan solat terutama pada hari Jumaat, tetapi mereka menghadapi masa sukar maka kami faham jika ramai yang tidak datang ke masjid untuk bersolat. Mereka sibuk membina kembali kehidupan selepas kehilangan segala-galanya dalam siklon,” katanya.
Disebabkan bekalan elektrik di pulau itu terputus, Ahmad menggunakan megafon untuk panggilan solat, tetapi suaranya boleh didengari beberapa blok sahaja.
Beberapa lelaki dan wanita dilihat kerap datang bersolat di masjid yang atapnya sudah lama rosak teruk.
Pada tahun sebelumnya, makanan dikongsi dengan masyarakat miskin. Ahmad berkata, makanan tidak disediakan Ramadan tahun ini sebaliknya jemaah datang solat Maghrib bersama kotak makanan kecil untuk berbuka bersama orang lain.
Di kejiranan Kumwamba, lebih 500 rumah musnah, menurut pejabat tempatan Rahba Amad dan sebahagian besar siling masjid tempatan turut rosak.
Imam Ibo mengharapkan bantuan daripada Majlis Islam Mozambique untuk membaiki tempat ibadat.
“Saya berharap kami akan mendapat bantuan daripada Majlis Islam dan biasanya mereka menghantar makanan untuk menggalakkan orang berpuasa pada Ramadan dan saya pasti mereka akan membantu memulihkan bangunan, tetapi sekarang komunikasi adalah mustahil kerana tiada rangkaian telefon di Ibo,” kata Ahmad.
Program Makanan Dunia PBB (WFP) berkata, bantuan makanan dihantar kepada lebih 100,000 orang yang terkesan di utara Mozambique.
Lisa Ratcliffe, wakil komunikasi Organisasi Pertanian dan Makanan (FAO) berkata, agensi PBB melakukan penilaian di beberapa daerah di wilayah utara Cabo Delgado dan beberapa pulau untuk memetakan jalan bagi membantu petani dan nelayan yang mengalami kerugian.
“Pasukan teknikal pakar FAO menilai keperluan, bukan hanya untuk pertanian tetapi juga ternakan dan perikanan yang kedua-duanya turut mengalami kerosakan dan kerugian yang besar daripada dua siklon,” katanya kepada Al Jazeera.
Comments
Post a Comment